Home

"Saya akan bawa dia pulang"

E-mail Cetak PDF

Oleh Zuhayati YazidJARAK dan masa mungkin telah memisahkan dua beranak ini. Hakikatnya mereka hanya berpisah jasad sedangkan ingatan dan kasih

sayang tidak berganjak walau seinci, malah perjuangan si ibu tidak akan berakhir selagi si kecil tersayang tidak berada dalam dakapan dan belaiannya.

Seluruh negara sudah mengetahui cerita Elis Syuhaila Mokhtar, 34. Berita ibu malang ini terpampang hampir setiap hari di dada akhbar - berjuang mendapatkan semula anak kesayangan, Ferris Mokhtar Van de Ven, 6, yang 'dilarikan' bekas suaminya, Firdaus @Frank Theodours Van De Ven, 40, ke Belgium.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Mungkin benar ramai yang bersimpati namun tidak kurang juga yang bersikap sinikal pada nasib ibu muda ini.

Namun semua itu tidak menjadi kudis bagi Elis kerana saat ini naluri keibuan melebih segala-galanya.

"Walau apa pun dugaan dan rintangan, saya tetap akan mengambil Ferris dan tinggal bersama saya di Malaysia. Ini juga janji saya pada dia," ujarnya dalam kesayuan ketika ditemui di kediamannya di Batu Caves, Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Malah demi Ferris, dia tidak malu untuk merayu kepada sesiapa saja waima kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri agar membantunya mendapatkan semula satu-satunya anak yang dikandung.

Dia yang diberikan hak penjagaan anak oleh Mahkamah Tinggi Syariah baru-baru ini memberitahu, rayuan itu dibuat kerana perjuangannya untuk membawa pulang Ferris yang terpisah dengannya sejak sembilan bulan lalu menemui jalan buntu.

Bagi Elis dalam hal ini hanya Perdana Menteri dan Wisma Putra saja yang mampu memohon kerajaan Belgium untuk memberi kerjasama melepaskan Ferris ke negara ini.

"Saya tidak memiliki wang yang cukup untuk ke sana tetapi saya yakin jika kita mohon pembelaan di negara itu, saya akan dapat hak saya," katanya

Biarpun rintangan yang ditempuh terlalu hebat, Elis mengakui harapan dan usaha membawa pulang Ferris tidak pernah putus sehingga ke saat ini.

"Saya tidak kisah walau terpaksa berpenat lelah mengedar gambar Ferris di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Tidak cukup dengan itu saya juga menghantar surat merayu kepada seluruh pihak berkuasa termasuk Jabatan Imigresen.

"Setiap hari doa dan air mata ini tidak pernah lekang. Syukur doa saya didengari-Nya apabila Datuk Seri Shahrizat (Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) baru-baru ini berkata beliau telah meminta bantuan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk meneliti kes anak saya.

"Sekurang-kurangnya saya nampak sedikit cahaya di hujung sana," katanya dalam nada sebak yang semakin dalam.

Kata Elis, kerinduan terhadap Ferris sukar untuk digambarkan dengan perkataan lebih-lebih lagi apabila mengenangkan anaknya itu bakal genap enam tahun pada 7 Disember ini.

Mana-mana ibu pun pasti akan menderita apabila terpaksa berpisah dengan anak yang sejak lahir tidak pernah berenggang darinya.

"Apa yang paling membimbangkan saya sekiranya saya tidak sempat menyelamatkan akidah Ferris.

" Tiada siapa tahu apa yang berlaku padanya di sana. Terlalu sukar untuk saya menerima takdir ini.

"Saya merayu sangat tolonglah bawa pulang anak saya, kasihani anak saya," ujarnya sambil menyeka air mata yang semakin laju.

Elis mengakui sedikit terkilan kerana sepatutnya Jabatan Imigresen tidak membiarkan Ferris keluar dari negara ini pada 5 Mac lalu.

 


 

KAJI SELIDIK YANG DIJALANKAN OLEH JPW

busyLoading Poll...