BANYAK cara boleh dilakukan bagi memupuk kreativiti dan imaginasi di kalangan kanak-kanak anak-anak termasuk melalui muzik. Pendekatan tersebut menjadi pilihan kepada projek kebajikan berterusan Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad yang dikenali sebagai ChildrenCare.
Berkerjasama dengan Yamaha Music Malaysia mereka menyediakan platform kepada 100 orang pelajar dari enam sekolah menengah untuk meneroka kebolehan melalui program ChildrenCare Tapping Talent In Music'.
Program berlangsung di pusat beli-belah Great Eastern Mall, di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Seiring dengan tema projek kebajikan ChildrenCare tahun ini iaitu Back To Basic, program tersebut bukan saja mensasarkan penjanaan kreativiti bahkan sebagai gelanggang mencungkil bakat terpendam melalui cara pembelajaran efektif dan pembangunan kognitif dan sosial.
Pada program itu para pelajar berpeluang menerokai muzik dengan cara lebih interaktif dengan melihat sendiri alat-alat muzik sebenar yang dipamerkan seperti Yamaha Electon, dram dan pelbagai jenis gitar berserta tenaga pengajarnya.
Para pelajar turut diberi peluang untuk menyertai bengkel muzik serta merasai sendiri pengalaman bermain alat muzik sebenar, peluang yang pastinya ditunggu-tunggu oleh kebanyakan peserta.
Salah satu daya tarikan pada hari tersebut ialah persembahan muzik istimewa oleh dua pelajar berbakat iaitu Koay Ron Nard dan Low Zhi Xin.
Dengan mengetengahkan persembahan daripada kanak-kanak turut memberi peluang kepada para peserta untuk lebih menghayati dan menjadi inspirasi kepada mereka untuk lebih mengenali bidang muzik.
Persembahan ini turut mendemonstrasikan keunikan muzik yang mana setiap orang mempunyai gaya mereka yang tersendiri.
Projek kebajikan Great Eastern ChildrenCare telah bertapak selama 14 tahun dalam penglibatan projek-projek kemasyarakatan.
ChildrenCare sebuah projek kebajikan untuk kanak-kanak bernaung di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.
Menyasarkan budaya penyayang dan berkongsi antara para ejen dan kaki tangan Great Eastern. Ini adalah sebahagian sokongan kepada aspirasi kerajaan kepada sebuah masyarakat penyayang.
ChildrenCare memastikan kemajuan dalam kehidupan kanak-kanak melalui kesedaran umum berkaitan perkhidmatan kemasyarakatan.
Sehingga kini ChildrenCare telah mendermakan lebih RM1.4 juta berupa kelengkapan khas dan bantuan pembelajaran kepada lebih 120 rumah pertubuhan kebajikan di seluruh negara.
Ia turut menyalurkan sumbangan kepada beberapa organisasi kebajikan selain menganjurkan program dan acara menarik yang lain pada setiap tahun kepada kanak-kanak yang memerlukan.
Antara program tersebut seperti Kem Remaja, Kem Pendidikan Anak-Anak Orang Asli dan Lawatan Sambil Belajar.







Loading Poll...