Home

Air bawah tanah sebagai sumber kehidupan

E-mail Cetak PDF

BEBERAPA hari sebelum berlepas ke Korea Selatan bersama Sime Darby baru-baru ini, penulis melayari Internet terlebih dahulu bagi mencari maklumat mengenai projek air bawah tanah.

Setelah menemui beberapa artikel dan hasil kajian berkaitan, penulis berasa agak terkejut dan sedikit bimbang.

Rupa-rupanya ada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kurang senang dengan projek air bawah tanah di Daerah Batang Padang, Perak yang mahu dimajukan oleh syarikat korporat tersebut.

Projek di kawasan seluas 2,700 kilometer persegi (km psg) itu sebenarnya mampu mengeluarkan air bawah tanah sehingga 500 juta liter air sehari mulai 2013 tetapi dikatakan tidak perlu dan hanya bakal mengundang padah.

Mereka mendakwa ia boleh menjejaskan hasil tanaman, kejadian tanah mendap atau merekah, penurunan paras air bawah tanah yang mendadak serta kemasukan air masin ke dalam sumber air bawah tanah.

Walaupun pihak Sime Darby telah memperjelaskan mengenai segala persoalan yang ditimbulkan, namun masih ramai yang tidak percaya malah melontarkan pelbagai tuduhan tidak berasas.

Justeru, pemikiran dan pendirian penulis berhubung kewajaran projek air bawah tanah itu bercampur baur kerana berpendapat segala hujah yang dilontarkan belum dapat dibuktikan secara jelas.

Bagaimanapun, setelah dibawa ke beberapa tempat di Korea Selatan bagi melihat dengan mata kepala sendiri tentang perjalanan operasi projek air bawah tanah, barulah segala persoalan yang timbul terjawab satu persatu.

Lokasi pertama yang dilawati oleh rombongan yang dianggotai oleh kira-kira 20 orang terdiri daripada pegawai kerajaan, wakil NGO, media serta penulis blog ialah Hongjaechon di Seoul.

Di situ, kami diberi penerangan oleh syarikat Da Joo Construction Co. Ltd. iaitu kontraktor air bawah tanah terbesar di Korea Selatan yang mempelopori sistem telaga pengumpul berjejari atau radial collector wells (RCW).

Selepas kira-kira sejam diberi sesi penerangan, barulah kami sedar bahawa Korea Selatan telah menggunakan teknologi air bawah tanah sejak 1981 dan berjalan lancar selama 28 tahun!

Kini negara itu sudah mempunyai 200 RCW yang setiap satunya berdiameter antara empat hingga lapan meter.

Itu jumlah RCW yang bersaiz agak besar dan buat pengetahuan umum, negara itu kini secara keseluruhannya dianggarkan mempunyai lebih 1,000 telaga kecil bagi mengepam air bawah tanah.

Berdasarkan jumlah RCW dan telaga kecil itu, pasti ramai yang tidak menyangka bahawa Korea Selatan tidak pernah mengalami masalah tanah mendap atau merekah selama sistem itu berjalan sejak sekian lama.

Apa yang pernah berlaku di sana ialah kualiti bekalan air bawah tanah yang teruk dek kerana kerja-kerja mengorek pasir di kawasan sungai.

Walaupun kebanyakan RCW itu dibina agak hampir dengan kawasan perumahan dan bangunan pencakar langit iaitu sejauh 100 meter, pembinaannya itu juga didapati tidak memberi kesan kepada struktur bangunan.

Tidak ada bantahan atau aduan orang ramai yang mengatakan bangunan mereka retak kerana aktiviti penggerudian tanah sedalam antara 30 meter hingga 100 meter untuk tujuan pengambilan air bawah tanah di kawasan mereka.

Dalam pada itu, Ketua Pengurusan Air Sime Darby, Dr. Azuhan Mohamed juga menjelaskan mengenai kejadian tanah runtuh atau merekah sebagaimana yang berlaku di beberapa negara yang menggunakan sumber air bawah tanah.

Jelas beliau, kejadian itu digunakan sebagai 'peluru' oleh NGO bagi 'menghentam' projek di Batang Padang tanpa penyelidikan yang rapi.

''Sebenarnya kejadian tersebut tidak relevan sama sekali kerana kejadian tanah runtuh berkenaan bukan disebabkan oleh kerja pengambilan air bawah tanah.

''Punca utamanya ialah kejadian gempa bumi di negara terbabit, kalau bahaya kenapa di Korea Selatan tidak berlaku tanah mendap?," katanya.

Mengenai dakwaan paras air bawah tanah akan turun dengan mendadak, Dr. Azuhan menegaskan bahawa kerja-kerja pengepaman akan dilakukan secara optimum berdasarkan kapasiti air bawah tanah.

''Pengepaman air bawah tanah tidak akan menyebabkan tanah mendap, ia cuma boleh merendahkan paras air bawah tanah dan itu pun berlaku secara minimum.

''Berdasarkan kajian, paras air bawah tanah hanya akan turun satu meter bagi kawasan seluas satu km psg selepas kerja-kerja pengepaman air dijalankan dalam tempoh agak lama.

''Jadi kalau ada pihak dakwa paras air bawah tanah boleh turun sehingga lapan meter, maka ia tidak betul," kata Dr. Azuhan yang merupakan satu-satunya individu memperoleh Certified Groundwater Professional (CGWP) di Asia Tenggara.

Lawatan selama lima hari itu turut membawa ahli rombongan ke Pulau Jeju yang terkenal sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia.

Walaupun penulis sebelum itu sudah terbayang dan berangan-angan untuk menyaksikan keindahan pulau tersebut, namun hasrat itu tidak kesampaian kerana ini bukan misi melancong!

Tujuan Sime Darby membawa kami ke pulau tersebut adalah untuk membuktikan bahawa projek air bawah tanah tidak akan menjadikan kes percampuran air masin.

Buat pengetahuan umum, Pulau Jeju hanya mempunyai kira-kira 500,000 penduduk tetapi dilawati sehingga enam juta pelancong setiap tahun.

Lebih 80 peratus sumber air yang digunakan oleh penduduk dan pelancong di pulau itu ialah air bawah tanah dan selebihnya ialah air permukaan iaitu air sungai yang dirawat.

Ada telaga yang dibina begitu hampir dengan kawasan pantai iaitu kira-kira 30 meter tetapi jangan terperanjat, sejak sekian lama air bawah tanah itu tidak masin pun.

''Kami mahu anda semua saksikan sendiri bahawa air bawah tanah yang diambil di kawasan pulau yang dikelilingi laut seperti ini pun tidak bercampur dengan air masin.

''Jadi bagaimana pula ada pihak mendakwa projek air bawah tanah di Batang Padang yang terletak berpuluh-puluh kilometer dari Selat Melaka boleh menyebabkan percampuran air masin?," ujar Dr. Azuhan.

Tidak cukup dengan itu, rombongan turut di bawa berkunjung ke Changwon, Busan bagi melihat sendiri projek air bawah tanah di kawasan berhampiran sungai pula.

Ini bagi menjawab dakwaan kononnya pembinaan RCW dan telaga di kawasan itu adalah berbahaya lebih-lebih lagi jika sungai itu tercemar dengan sisa industri.

Mungkin pihak yang membuat dakwaan itu sudah lupa bahawa air bawah tanah sebenarnya telah ditapis secara semula jadi dan akhirnya menjadi bersih dan jernih.

''Sungai di sini pernah tercemar dengan sisa industri pada tahun lalu tetapi loji ini tetap beroperasi. Menariknya air yang dipam keluar terbukti berkualiti selepas diuji.

''Sebarang pencemaran dalam air akan dirawat menerusi proses penapisan semula jadi dalam akuifer tanah. Bayangkanlah betapa jimatnya kita jika menggunakan teknologi air bawah tanah.

''Kita tidak memerlukan kos yang tinggi untuk merawat air sungai yang tercemar. Kalau anda masih ingat, ada muka sauk yang terpaksa ditutup apabila Sungai Langat tercemar beberapa tahun lalu. Kalau kita guna sistem ini tak payah kita bersusah payah," katanya lagi.

Setelah lawatan menghampiri 'garisan penamat', ramai ahli rombongan yang pada mulanya melontarkan pelbagai soalan 'ganas' mula faham dan lebih yakin dengan projek di Batang Padang.

Keyakinan penulis juga boleh dikatakan meningkat berlipat kali ganda lebih-lebih lagi selepas menyaksikan sendiri ada rakan yang sudah berani meminum terus air bawah tanah yang belum dirawat!

 


 

KAJI SELIDIK YANG DIJALANKAN OLEH JPW

busyLoading Poll...