

Oleh: Rohana Mohamed Ali @ Halim
Pada 31 Oktober hingga 1 November 2009 buat pertama kalinya melalui Program Mengimarah Rumah Nur, PPWN Perak telah mengadakan program Menggunting Rambut bertempat di Okisya Hair and Beauty Care, Silibin. Ini sekaligus membuktikan bahawa PPWN Perak sentiasa komited untuk mempelbagaikan kemahiran kepada wanita dan suri rumah khususnya. Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada ibu tunggal dan suri rumah telah menyertai program ini. Kursus selama dua hari ini memberi peluang kepada para peserta untuk mempelajari asas-asas menggunting rambut serta teknik-teknik yang betul dalam penjagaan rambut. Peserta dibekalkan dengan model rambut dan peralatan lain seperti gunting dan sikat. Para peserta begitu teruja dengan kemahiran yang dipelajari dan bersemangat untuk mencuba sekembalinya ke rumah masing-masing.
Selain itu, turut diadakan dua siri bengkel kemahiran kraf tangan Siri yang pertama diadakan pada 13 Oktober 2009 bertempat di Bilik Mesyuarat Aras 3 (Blok A), Bangunan Persekutuan Ipoh kepada 30 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan Kerajaan, suri rumah dan ahli-ahli kelab Sahabat Rumah Nur. Peserta diajar membuat bunga dip, gubahan hantaran sotong dan buah-buahan. Cik Norazira Shazrin Ahmad Razuan telah sudi berkongsi kemahiran beliau dengan para peserta pada hari itu. Melalui program ini diharapkan dapat membantu mereka mengkomersilkan pengetahuan dan kemahiran mereka bagi menambahkan pendapatan.
Ekoran sambutan yang menggalakkan melalui Program Mengimarah Rumah Nur (Kemahiran Kraftangan) pada 29 Oktober 2009 yang lalu Bilik Mesyuarat Aras 3 (Blok A), Bangunan Persekutuan Ipoh, PPWN Perak sekali lagi telah mengadakan Kemahiran Kraf Tangan. Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada ahli kelab Rumah Nur telah menyertai program ini. Program kali ini masih mengekalkan kraf bunga dip, gubahan hantaran sotong dan buah-buahan yang dikendalikan oleh Cik Norazira Shazrin Ahmad Razuan.
Majlis penyampaian sijil bagi program Imarah Rumah Nur PPWN Perak ini telah disempurnakan oleh Puan Rohana Mohamed Ali @ Halim, Pemangku Pengarah PPWN Perak.







Loading Poll...