


Oleh: Fatimah Zahra Kamaruddin
Petaling Jaya: Tanggal 26 November 2009 buat julung-julung kalinya dalam takwim sejarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) majlis sambutan Hari Antarabangsa bagi Menangani Keganasan Terhadap Wanita Tahun 2009 telah dilangsungkan sejajar dengan sambutannya oleh para wanita seantero dunia di peringkat antarabangsa. Acara sambutan ini telah dirasmikan oleh Dato’ Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur, Ketua Pengarah, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), bertempat di Sunway Pyramid Convention Centre, Sunway Pyramid.
Seramai lebih 1000 orang peserta lelaki dan wanita dari pelbagai latar belakang terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen, pengerusi dan ahli Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK), pegawai dan kakitangan Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta, pelajar-pelajar universiti serta individu telah menyertai acara sambutan ini. Tema sambutan pada tahun ini adalah “Commit – Act – Demand: We can end Violence Against Women!” dan ini merupakan sambutan ulang tahun ke-10 sejak diumumkan secara rasmi pada 17 Disember 1999 ekoran penerimaan satu resolusi (Resolusi 54/134) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran wakil-wakil dari kedutaan luar negara seperti Kanada, Turki, Finland, Cambodia dan Palestin yang disajikan dengan tiga slot ceramah iaitu ‘Menangani Keganasan Terhadap Wanita: Tanggungjawab Bersama’ oleh Betty Yeoh, Pengerusi All Women’s Action Society Malaysia (AWAM), ‘Menangani Keganasan Terhadap Wanita: Tindakan Segera Menyelamatkan Nyawa!’ oleh Supriten dan Ong Chin Lan dari Polis DiRaja Malaysia dan peserta turut didedahkan dengan ‘Tip dan Demonstrasi Mengelakkan Diri Daripada Menjadi Mangsa’ oleh Encik Saiful dari syarikat perunding The Green Hornet. Memang tidak dapat dinafikan bahawa penceramah-penceramah tersebut berpengalaman mengendalikan isu-isu dan kes berkenaan keganasan sehinggakan para peserta dilihat tidak berganjak dari kerusi mereka untuk mendengar ceramah yang disampaikan.
Acara sambutan ini merupakan program yang diadakan dengan kerjasama Sunway International Business Management (SIBM), Avon Cosmetics (M) Sdn. Bhd (AVON) dan AWAM bagi menunjukkan komitmen kerajaan bersama-sama pihak swasta dan NGO dalam menangani keganasan terhadap wanita. Oleh yang demikian, melalui penganjuran Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita ini diharap masyarakat akan lebih menyedari mengenai tanggungjawab masing-masing bagi menangani keganasan terhadap wanita yang juga merupakan salah satu daripada bentuk diskriminasi gender.







Loading Poll...