Home

Rohasniza belajar sambil urus spa

E-mail Cetak PDF

BERPELUANG mengenali pemilik Roses Beauty & Spa yang memiliki ketinggian 149 sentimeter dan berat badan 44 kilogram ini, merupakan satu peluang keemasan.

Siapa sangka walaupun mengendalikan sebuah spa, Rohasniza Mohd. Rosli sebenarnya masih lagi bergelar pelajar.

Masih menuntut di Universiti Limkokwing, Cyberjaya, semangat remaja yang berbintang Aquaries ini patut dicontohi.

Masakan tidak, tanpa mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang perniagaan dan hanya mempraktikkan jurusan yang diambil iaitu Ijazah Pengurusan Perniagaan, Rohasniza atau lebih mesra dengan panggilan Yaya, berani menanggung risiko apabila mengambil keputusan membuka sebuah perniagaan yang berasaskan kecantikan.

Menurut anak kepada pasangan Mohamad Rosli Yusoff dan Karimah Muhammed ini, walaupun hanya berbekalkan ilmu yang diperoleh dari universiti, dia tidak berasa kekok malah berasa sangat teruja untuk terus mengusahakan spa tersebut.

Bagi anak ketiga daripada empat beradik ini, peluang tersebut merupakan satu peluang keemasan yang harus disambar kerana ia secara tidak langsung merupakan satu latihan praktikal dalam menterjemahkan apa yang telah dipelajarinya dalam bidang perniagaan.

Baru berusia 20 tahun, Yaya bukan sahaja menggalas tanggungjawab sebagai seorang pelajar malah kini sudah bergelar usahawan muda.

Selain dapat membanggakan kedua ibu bapanya apabila sudah pandai berdikari, Roses Beauty & Spa yang dibuka awal tahun ini juga sudah mampu memberikan pulangan bulanan yang mencukupi untuk membayar sewa bangunan serta gaji pekerja.

Ketika ia dibuka, Yaya tidak keseorangan dalam menerajui Roses Beauty & Spa kerana kakaknya, Rosmaliza Mohd. Rosli, 24, juga merupakan rakan kongsi.

Bagaimanapun menurut Yaya, kakaknya tidak bersama-sama ketika spa tersebut dibuka kerana kini berada di Ukraine melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.

''Alhamdulillah, apa yang dicita-citakan selama ini kini menjadi kenyataan.

''Memang sudah lama Yaya ingin membuka sebuah perniagaan sendiri dan sebab itu Yaya mengambil jurusan Pengurusan Perniagaan.

keyakinan diri

''Sekurang-kurangnya hari ini Yaya dapat membuktikan bahawa jika dengan semangat serta keyakinan diri yang tinggi, apa yang diimpikan tidak mustahil malah segalanya mampu direalisasikan,'' ujar anak kelahiran Kuantan, Pahang ini.

Apabila diselidik sedikit demi sedikit, maka tidak hairanlah sekiranya Yaya mampu bergerak walaupun tanpa pengalaman dalam bidang perniagaan sebelum ini.

Ini kerana, Yaya berasal daripada keluarga yang sememangnya terlibat dalam bidang perniagaan di mana bapanya seorang kontraktor manakala ibunya pula seorang suri rumah sepenuh masa.

Bagaimanapun, menurut Yaya, masih banyak lagi yang perlu dipelajarinya jika ingin bergelar usahawan berjaya satu hari nanti.

Berbicara mengenai pelajaran pula, menurut Yaya, buat masa ini beliau tidak menghadapi sebarang masalah untuk membahagikan masa antara kelas dan perniagaan.

Ini kerana sekiranya kelasnya di waktu pagi, beliau akan ke spa ke sebelah petang dan ia berlaku sebaliknya jika kelasnya bermula pada waktu petang.

Lagi pun, sepanjang Yaya berada di kelas, spanya akan dijaga oleh pekerja yang dipercayai selain mempunyai pekerja tetap seramai tiga orang.

''Tidak dinafikan apabila dalam satu masa kita melakukan dua kerja serentak ia menuntut satu pengorbanan yang tinggi. Pengurusan masa amat penting kerana terpaksa melakukan dua kerja dalam satu masa.

''Dari situlah Yaya dapat mendisiplinkan diri dan bersyukur kerana keluarga memahami situasi tersebut selain memberikan sokongan dan dorongan yang tidak ternilai,'' jelasnya tersenyum.

Apabila berbicara mengenai spanya yang berkonsepkan alam semula jadi, menurut Yaya Roses Beauty & Spa turut menggunakan ramuan herba yang diadun sendiri dan turut mempunyai jenama sendiri iaitu Myristica.

 


 

KAJI SELIDIK YANG DIJALANKAN OLEH JPW

busyLoading Poll...