Wanita dan Kerjaya – UBOLEH!

 

Pengenalan

Perkataan career (kerjaya) adalah berasal daripada bahasa Latin iaitu carraria yang bermaksud jalan. Menurut Kamus Dewan,   kerjaya boleh ditakrifkan sebagai  profesion atau pekerjaan yang dipilih  sebagai cara mencari nafkah .Selain itu kerjaya boleh didefinisikan sebagai perjalanan atau kemajuan seseorang dalam sesuatu lapangan yang diceburinya.

 

Kejayaan sesuatu pekerjaan yang diceburi oleh seseorang individu turut dipengaruhi oleh perancangan sesuatu kerjaya. Perancangan kerjaya pula boleh ditakrifkan sebagai proses seumur hidup untuk  mendapatkan pekerjaan, perkembangan dalam pekerjaan, perubahan pekerjaan dan persaraan ( McKay, 2007).

 

Perancangan kerjaya bukan sahaja untuk golongan pelajar atau belia yang ingin memulakan kehidupan bekerjaya, namun, ia juga perlu diberi sama penting kepada orang dewasa. Ini adalah disebabkan oleh setelah kehidupan seseorang itu banyak diberikan kepada kerjaya, apabila tiba waktu bersara, ada kekosongan berlaku. Kekosongan ini perlulah diisi untuk mengelakkan pergolakan emosi. Untuk itu,  program UBOLEH dirangka agar memberi peluang khususnya kepada WANITA untuk merancang kerjayanya dan menggalakkan keupayaan bekerja.

 

Sebahagian daripada proses merancang kerjaya adalah membuat keputusan. Proses ini adalah aspek yang paling sukar kerana  pelbagai masalah akan timbul sekiranya berlaku kesilapan dalam membuat keputusan. Proses membuat keputusan  dalam memilih sesuatu kerjaya dilakukan setelah seseorang itu  menganalisis dirinya, mengenalpasti peluang pekerjaan yang ada serta mempertimbang  pro dan kontra sesuatu kerjaya (O’Connel, 2007).

 

Setiap orang dewasa sepatutnya mempunyai perancangan kerjaya yang sistematik  termasuk meningkatkan kawalan diri supaya dapat mencapai tahap kepuasan kerjaya yang diingini setelah bersara serta memastikan diri bergerak ke arah kerjaya yang dipilih. Terdapat pelbagai model berkaitan dengan perancangan dan membuat keputusan tentang sesuatu kerjaya yang ingin diceburi. Model-model kerjaya ini adalah sangat penting bagi membolehkan  seseorang memilih kerjaya yang sesuai dengan dirinya, merancang kerjaya baru atau memikirkan  tentang persaraannya. Antara model kerjaya yang sering dijadikan  model rujukan adalah seperti:

 

a)     Model SODI (Law dan Wats, 1977)
Model SODI  menjelaskan bahawa dalam merancang dan membuat keputusan berkaitan dengan kerjaya beberapa perkara perlu diberi tumpuan iaitu kesedaran kendiri (Self- awareness), kesedaran peluang (Opportunity awareness), membuat keputusan dan perancangan (Decision making and planning) dan mengimplementasi rancangan (Implementation plans).

 

Setiap individu yang akan memasuki alam kerjaya perlu mempunyai kesedaran kendiri. Kesedaran kendiri tersebut  melibatkan kefahaman tentang  pesonaliti sendiri, keupayaan diri, aptitud, nilai  diri yang dipegang, nilai pekerjaan , gaya kognitif, minat, sikap dan sebagainya.  Selain itu , mereka juga perlu berusaha mencari peluang untuk mencapai sesuatu matlamat atau kerjaya yang dipilih. Mereka perlu mengumpul banyak maklumat atau informasi tentang jenis pekerjaan, peluang pekerjaan, masa depan bidang pekerjaan, peluang belajar dalam bidang yang akan diceburi, gaji dan sebagainya.

 

Seterusnya, mereka perlu mempertimbang  pro dan kontra sesuatu bidang  kerjaya yang tersenarai dalam fikirannya bagi membolehkannya membuat pilihan daripada beberapa bidang yang disenaraikan. Selepas itu, mereka perlu membuat perancangan bagi mencapai matlamat atau kerjaya yang dipilih.

 

b)    Model Tightrope Artist ( Knowdell, 1996)
Model Tightrope Artist ( Knowdell,1996) ini mengemukakan empat langkah yang boleh dijadikan garis panduan dalam merancang dan membuat keputusan bagi memilih kerjaya. Langkah tersebut adalah seperti berikut:

 

i.               Menilai kekuatan dan gaya diri.
Menurut Knowdell (1996) , bagi merancang dan membuat keputusan dalam memilih kerjaya seseorang itu perlu menilai kekuatan dan gaya dirinya sendiri. Antara aspek yang perlu  dinilai ialah kemahiran yang dimiliki atau perlu dimiliki, minat , nilai yang dipegang  dan pesonaliti trait individu. Di samping itu, terdapat juga beberapa faktor tambahan yang perlu diberi perhatian iaitu pengaruh keluarga, persekitaran, motivasi dalaman dan cara pembelajaran.  Dengan memahami kekuatan dan gaya diri seseorang itu akan dapat memilih kerjaya yang bersesuaian dengan jiwanya. Keserasian antara pekerjaan dan personaliti adalah amat mustahak bagi membolehkan seseorang menyukai pekerjaan yang dilakukannya.

 

ii.              Meneroka sepenuhnya peluang pekerjaan yang ada.
Bagi meneroka sepenuhnya peluang pekerjaan dan pilihan yang ada, seseorang perlu mengumpul banyak maklumat sama ada daripada media massa, buku atau bertanya kepada sumber-sumber yang sah seperti kepada kaunselor atau guru. Maklumat tersebut adalah amat mustahak bagi membolehkan seseorang membuat pilihan tentang kerjaya yang bakal diceburi.

 

iii.            Memberi fokus kepada pilihan yang terbaik.
Bagi memberi fokus terhadap pilihan terbaik, seseorang perlu mengenalpasti isu atau dilema dalam sesuatu kerjaya. Seterusnya, individu tersebut perlu mengenalpasti keupayaannya dalam berdepan dengan dilema berkenaan. Pada peringkat ini , individu berkenaan perlu menyelidiki terlebih dahulu pelbagai aspek kerjaya yang bakal dipilih bagi memastikan bahawa dia mempunyai pelbagai alternatif dalam memilih sesuatu kerjaya.

 

iv.            Rancang tindakan untuk mencapai matlamat.
Tindakan terakhir adalah merancang tindakan yang perlu dilakukan bagi memastikan kerjaya tersebut dapat dicapai. Antara tindakan tersebut adalah seperti mengenalpasti tempat untuk belajar dalam bidang yang menjurus kepada kerjaya tersebut, penyediaan resume, persediaan untuk ditemuduga dan sebagainya.

 

c)     Teori Kerjaya Holland (1985)
Menurut Holland (1985) , semakin hampir keselarasan antara ciri-ciri personal dengan keperluan-keperluan dalam sesuatu pekerjaan, maka semakin besar kemungkinan seseorang itu untuk berjaya dalam bidang berkenaan. Kepuasan kerja, kebolehan, pencapaian dan stabiliti adalah bergantung kepada darjah keselarasan atau darjah kongruens antara jenis personaliti dengan persekitaran kerja.

 

Sesetengah individu kurang atau tiada kebolehan dalam membuat keputusan tentang kerjaya kerana mempunyai minat yang pelbagai, minat yang tidak jelas atau tiada mempunyai minat. Terdapat juga individu yang tidak dapat menjangka dengan baik tentang personalitinya, minatnya, nilainya, serta kebolehannya hingga pilihan yang dibuat tidak setimpal dengan ciri-ciri dirinya. Holland menjelaskan bahawa individu boleh dibahagikan kepada beberapa kategori mengikut  pesonalitinya iaitu kategori realistik, investigetif, artistik, sosial, enterprising dan konvensional.

 

Setiap individu perlu memilih kerjaya mengikut kesesuaian peribadinya. Sehubungan itu, Holland telah mengelompokkan pelbagai kerjaya mengikut kesesuaian enam kategori pesonaliti yang telah dinyatakan.  Bagi mengenalpasti kesesuaian kerjaya , seseorang perlu menjawab Soal Selidik Kerjaya  yang dihasilkan oleh Holland (1985).

 

Tindakan Dalam Membuat Keputusan

Berdasarkan kepada model-model kerjaya yang ada , boleh di rumuskan bahawa terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan dalam merancang  dan membuat keputusan berkaitan dengan pemilihan sesuatu kerjaya. Langkah-langkah  tersebut adalah seperti berikut.

i.               Membuat Penilaian Kendiri (Self Assesment)
ii.              Mengenali Diri/Menilai Keupayaan Diri
iii.            Mengenalpasti Pilihan/Meneroka Kerjaya
iv.            Mengumpul Informasi dan Data
v.              Membuat Pilihan
vi.            Memilih satu daripada cadangan anda.
vii.           Membuat  keputusan dan perancangan tentang sesuatu yang telah dipilih.

 

Kesimpulan       

Beberapa kesimpulan boleh dibuat berkaitan dengan perancangan dan membuat keputusan kerjaya. Antaranya ialah:

  1. Perancangan dan membuat keputusan yang betul adalah sangat penting dalam mencapai kerjaya yang cemerlang.
  2. Perancangan memerlukan seseorang membuat penelitian dan mengkaji segenap peluang  dan cabaran sebelum membuat sesuatu keputusan dalam memilih kerjaya.
  3. Pemilih sesuatu kerjaya perlu mempertimbangkan beberapa aspek iaitu berdasarkan penilaian kendiri, kesedaran peluang, membuat keputusan dan merancang tindakan serta mengimplimentasikan tindakan tersebut.
  4. Kerjaya  memberi implikasi sepanjang hayat kepada seseorang. Lantaran itu kerjaya perlu dirancang dan setiap keputusan perlu dibuat  dengan memikirkan pro dan kontranya agar  tidak timbul masalah di kemudian hari.

 

Penutup

Secara keseluruhannya, perancangan dan pembuat pemilihan kerjaya merupakan satu proses penting di dalam kehidupan manusia. Di dalam konteks Malaysia, banyak lagi usaha-usaha perlu dilakukan khususnya dalam mengubah persepsi mengenai membina kerjaya pada usia dewasa. Selain itu, perubahan minda perlu dilakukan. Kejayaan tidak datang bergolek. Ia tidak seperti peri-peri yang mempunyai tongkat ajaib. Namun, JPW menyediakan platfrom untuk WANITA bagi mengorak langkah kehadapan, seiiring dengan lelaki. Gunakanlah peluang dan ruang ini. Sertai program JPW di peringkat negeri yang dianjurkan oleh PPWN (Pejabat Pembangunan Wanita Negeri) seperti program kerjaya UBOLEH. Semoga program ini boleh membantu meningkatkan kemahiran diri WANITA, malah menyumbang kepada faktor ekonomi negara.

Rujukan

Law , B., &  Watts , A.B. (1977). Schools, Careers and Communities: A study of some approaches of some career education in schools.  London : CIO Publishing
Mc Kay, D.R.( 2007).Your Guide To Career Planning http://careerplanning.about.com/index.ht
Knowdell, R. (1996). Building a Career Davelopement Program. Palo Alto, CA: Davies-Black Publishing.
Holland, J.L.(1985).Holland Occupational Codes.http://www.hollandcodes.com/holland_occupational_codes.html