Dalam sektor kerajaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merupakan Kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan wanita, keluarga dan masyarakat Malaysia yang penyayang dan sejahtera sebagai asas pembentukan negara yang maju dan terbilang. Selaras dengan tanggungjawab yang diberi, di bawah Akta Fungsi-fungsi Menteri 1969 – Perintah Menteri-menteri Persekutuan 2009, salah satu peranan yang dimainkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah sebagai penggalak kesukarelaan.

Sehubungan dengan itu pemberian bantuan kerajaan kepada NGO yang menjalankan program pembangunan wanita melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), program keluarga melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan program kemasyarakatan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah selaras dengan fungsi tersebut.

 

Objektif 

  1. Untuk mendayaupayakan komuniti melalui tindakan kesukarelaan yang strategik dan berkesan;
  2. Untuk memastikan kumpulan sasar Kementerian menerima faedah yang optima dan berkesan berdasarkan perkhidmatan yang disediakan oleh NGO;
  3. Mengamalkan pemberian bantuan kerajaan berlandaskan ketepatan sepadan (fix-match) dan amalan pengurusan bantuan yang baik; dan
  4. Untuk memperkasakan NGO agar menjadi satu pertubuhan yang berdikari dan mengamalkan amalan pengurusan yang terbaik serta berkeupayaan untuk sentiasa melestarikan program dan perkhidmatan yang diberikan.

 

Kumpulan Sasar

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang memberi perkhidmatan kepada kumpulan sasar mengikut bidang-bidang keutamaan Kementerian.

 

Bidang Keutamaan Program

  1. Pembangunan Wanita
    • Latihan dan Peningkatan Kemahiran
    • Peningkatan Kapasiti Wanita
    • Literasi Undang-undang
    • Pengurusan Emosi
    • Nur Bahagia (Menangani Keganasan Terhadap Wanita)
    • Kepekaan Gender
  2. Pembangunan Keluarga
    • Kekeluargaan
    • Keibubapaan
    • Kebapaan
    • Persediaan Perkahwinan
    • Pemantapan Perkahwinan
    • Pembangunan Remaja
    • Kesihatan Reproduktif
  3. Pembangunan Masyarakat
    • Perlindungan dan Pemulihan Kanak-kanak
    • Advokasi dan Literasi Akta-akta Sosial dan Undang-undang
    • Perlindungan dan Pemulihan Orang Kurang Upaya
    • Pemulihan dan Kesejahteraan Warga Emas
    • Pemulihan dan Pengurusan Mangsa Bencana
    • Pemulihan dan Peningkatan Kapasiti Orang Papa dan Pengemis
    • Kajian dan Latihan dalam Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat
    • Pembangunan Kapasiti Komuniti dan Pertubuhan Sukarela Kebajikan
    • Persediaan Persaraan

 

Syarat-Syarat Kelayakan Ngo Untuk Memohon Bantuan Khas Perbendaharaan

  1. Telah BERDAFTAR dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia;
  2. Tidak berorientasikan keuntungan (NON-PROFIT ORGANIZATION);
  3. Selaras dengan bidang keutamaan yang telah dinyatakan;
  4. Tidak bertentangan dengan perlembagaan Malaysia;
  5. Tidak menyentuh isu-isu sensitif yang boleh menimbulkan permasalahan;
  6. Memberi MANFAAT kepada kumpulan sasar

Tarikh Halaman Dikemaskini : 07 Januari 2018 4:21 pm