Helang Langkawi Bersinar Oren: Simbol Solidariti Hentikan Keganasan Terhadap Wanita
HELANG LANGKAWI BERSINAR OREN: SIMBOL SOLIDARITI HENTIKAN KEGANASAN TERHADAP WANITA
24 November 2025|Isnin
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, hari ini mengadakan lawatan kerja ke Langkawi Kedah dengan turut disertai oleh Pengurusan Tertinggi KPWKM. Lawatan ini adalah bersempena dengan penganjuran beberapa program oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) di daerah tersebut.
Menerusi lawatan kerja ini, YB Menteri akan turut menghadiri dan merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan (AAGS), mempengerusi Mesyuarat Majlis Wanita Keluarga dan Negara (MWKN) dan seterusnya melancarkan Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita Tahun 2025 (Elimination Of Violence Against Women (Evaw) pada sebelah malam di Dataran Lang, Langkawi.
Malam ini, YB Menteri telah menghadiri acara kemuncak iaitu pelancaran Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita Tahun 2025 di Dataran Lang, Langkawi. Ikon burung helang Langkawi yang merupakan simbol kekuatan dan kebanggaan negara akan diterangkan dengan nyalaan lampu oren sebagai gimik pelancaran. Sambutan ini merupakan kali yang ke-17 diadakan sejak program sambutan EVAW diperkenalkan oleh KPWKM pada tahun 2009. Tarikh 25 November telah diiktiraf sebagai Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita melalui resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 2000.
KPWKM melalui JPW telah menggerakkan kempen Eliminate Violence Against Women (EVAW) sepanjang tahun bagi memastikan agenda menghentikan keganasan terhadap wanita ini dapat dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh. JPW juga komited melaksanakan program-program khusus untuk menangani keganasan terhadap wanita. Sejak Januari sehinga Oktober 2025, JPW telah melaksanakan 101 program advokasi menangani keganasan terhadap wanita dengan penyertaan 74,397 peserta. Penglibatan di peringkat negeri juga turut dirasai melalui pelbagai inisiatif dan solidariti oren dan nyalaan lampu oren di setiap negeri.
Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran terhadap isu ini, KPWKM berharap dengan penganjuran program-program advokasi pencegahan keganasan dan gangguan seksual seumpama ini dapat memberikan kesedaran dan manfaat kepada para peserta kerana perlakuan keganasan dan gangguan seksual terhadap wanita bukanlah isu yang dialami oleh wanita semata-mata tetapi satu jenayah dan memberikan kesan besar terhadap institut keluarga dan sosial di negara kita.
Hadir bersama, YBhg. Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, YB Datuk Seri Haji Iskandar bin Datuk Haji Mohd Kaus, Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Langkawi, YBrs. Puan Farah Adura binti Hamidi, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM, YBrs. Encik Mohd Daud bin Mohd Arif, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KPWKM, YBrs. Dr Faridah binti Awang, Timbalan Ketua Pengarah JPW, pegawai-pegawai kanan Kerajaan, Jabatan dan Agensi.
#KASIHKPWKM
#KitaKanKeluarga
#MalaysiaMADANI
#MADANIBEKERJA
#EVAW
#HentikandanLaporkan
#taatsetia
#RealisasiReformasi
#Rutin2Reformasi
