KasihnITa Bukti Komitmen Kerajaan Perkasa Wanita Akar Umbi
KASIHNITA BUKTI KOMITMEN KERAJAAN PERKASA WANITA AKAR UMBI
16 April 2026|Khamis
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri hari ini telah merasmikan Majlis Tautan Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) 2026 di Pullman Kuala Lumpur City Centre Hotel & Residences anjuran Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Program KasihnITa dirancang khusus untuk membina kapasiti ibu tunggal melalui tiga modul teras yang komprehensif. Modul pertama ialah, Modul Kemahiran Perundangan dan modul kedua ialah Modul Pengurusan dan Literasi Kewangan. Modul ketiga pula ialah Modul Pembangunan Psikososial.
Pada tahun 2025, program ini telah mencatat pencapaian yang sangat memberangsangkan iaitu hampir 1,900 ibu tunggal telah menyertai program ini di enam zon seluruh negara. Dalam tempoh yang sama juga sebanyak 90 kes bantuan guaman berjaya diuruskan, dengan bantuan peruntukan yang disalurkan kepada ibu tunggal untuk menuntut serta mempertahankan hak mereka.
Seiring dengan keberkesanan yang ditunjukkan, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta bagi pelaksanaan Program KasihnITa pada tahun 2026. Program ini akan diperluas ke 13 negeri dengan sasaran penyertaan seramai 5,000 ibu tunggal di seluruh negara. Pendaftaran program telah dibuka mulai 1 Februari 2026 dan akan berakhir pada 20 April 2026.
KPWKM sentiasa komited merangka dan melaksanakan inisiatif yang benar-benar memberi manfaat, supaya lebih ramai wanita, khususnya ibu tunggal, dapat dibantu untuk bangkit, berdikari dan membina masa hadapan yang lebih baik.
Turut hadir YB Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YBhg. Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Datin Safida Zalma binti Mohd Piah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM, YBrs. Puan Hanani Sapit, Ketua Pengarah JPW dan Pegawai-pegawai Kanan Jabatan dan Agensi Kementerian.
