Program Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Peringkat Negeri Kelantan
Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Peringkat Negeri Kelantan
11 Februari 2026
Pelancaran Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Peringkat Negeri Kelantan telah disempurnakan oleh YM Tunku Sofiah Larasih binti Dato’ Tunku Zainol Rashid, Pengarah Bahagian Usahasama Strategik, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) mewakili YBrs. Puan Hanani Sapit, Ketua Pengarah JPW di Laman Wanita, Kota Bharu anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) Kelantan pada hari ini.
Seiring dengan pelaksanaan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030, Jabatan Pembangunan Wanita komited untuk terus mempergiat inisiatif yang berfokus kepada peningkatan kapasiti wanita, perlindungan daripada keganasan, pengukuhan kesejahteraan keluarga dan penggalakan penyertaan wanita dalam bidang strategik termasuk keusahawanan, kepimpinan dan ekonomi berasaskan kreativiti.
Pengisian sambutan pada hari ini, memberi penekanan kepada konsep Ekonomi Jingga yang menumpukan kepada kreativiti, warisan dan inovasi sebagai sumber nilai dan pertumbuhan ekonomi. Bagi menterjemahkan konsep ini secara praktikal dan berimpak, penganjur telah mewujudkan empat (4) zon interaktif yang dikenali sebagai “HER Creative Economy Zone” yang merangkumi Zon Batik Sublimation Project , Zon HER Lens Empowerment, Zon HER Creative Graphic dan Zon HER Mother Care sebagai ruang pendedahan, pembelajaran dan interaksi secara langsung bersama peserta pada hari ini.
Pendekatan ini juga menzahirkan komitmen PPWN Kelantan untuk memastikan program yang dilaksanakan bersifat praktikal, relevan dan mampu memberi manfaat berterusan kepada wanita Kelantan selari dengan aspirasi pemerkasaan wanita di peringkat nasional.
Turut hadir bersama Puan Nik Farhan binti Muhaimin, Pengarah PPWN Kelantan, Encik Che Samsuzuki bin Che Noh, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan.
