
PROGRAM SANTUNI MADANI: K-CHAT BICARA HATI
29 Oktober 2026 | Khamis
Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) melalui Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) Johor telah melaksanakan Program Santuni MADANI: “K-Chat Bicara Hati” bertempat di NADI Taman Desa Belantik, Taman Sri Stulang, Johor Bahru.
Program ini merupakan inisiatif di bawah Program PRISMANITA yang menyediakan ruang sokongan psikososial kepada wanita melalui pendekatan kaunseling kelompok secara terbimbing.
Program ini memberi penekanan kepada pengukuhan kesejahteraan emosi, pembinaan daya tindak positif serta peningkatan keyakinan diri wanita dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan. Melalui sesi perkongsian pengalaman dan bimbingan kaunselor, peserta diberi peluang untuk meluahkan perasaan, berkongsi cabaran serta mempelajari kaedah mengurus emosi dalam persekitaran yang selamat dan kondusif.
Seramai 30 orang peserta termasuk urus setia telah menyertai program ini. Sesi K-Chat dilaksanakan dalam tiga kumpulan yang dibimbing oleh kaunselor dan tenaga pengajar daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pengurus Rumah Pesona Johor YPKDT serta Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim. Pendekatan ini turut memberi ruang kepada peserta untuk mengenal pasti keperluan sokongan lanjut dan mendapatkan rujukan kepada perkhidmatan kaunseling atau agensi berkaitan sekiranya diperlukan.
YBrs. Puan Hanani binti Sapit, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, turut memberi perhatian terhadap usaha menyantuni komuniti setempat menerusi pelaksanaan program ini yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Kampung Angkat Ketua Pengarah. Pendekatan turun padang ini mencerminkan komitmen JPW dalam mendekati masyarakat secara langsung serta memastikan keperluan dan kesejahteraan komuniti, khususnya wanita, terus diberi perhatian.
JPW berharap program seumpama ini dapat terus memperkasa wanita agar lebih berdaya tahan, yakin dan mampu menghadapi cabaran kehidupan, di samping membina komuniti yang lebih prihatin, harmoni dan saling menyokong.
#KASIH KPKWKM
#KitaKanKeluarga
#MalaysiaMADANI
#MADANIBEKERJA
#taatsetia
#RealisasiReformasi
#Rutin2Reformasi