Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Peringkat Negeri Melaka
SAMBUTAN HARI WANITA ANTARABANGSA (SHWA) 2026 PERINGKAT NEGERI MELAKA
21 April 2026|Selasa
YBrs. Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Puan Hanani Sapit telah menyempurnakan sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Peringkat Negeri Melaka di Dewan World Youth Foundation, Ayer Keroh, Melaka pada hari ini.
Sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang diraikan pada setiap 8 Mac merupakan wadah penting untuk menghargai peranan dan sumbangan wanita dalam pelbagai lapangan kehidupan. Tema tahun ini, “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara”, amat signifikan kerana kemajuan wanita berkait rapat dengan kemajuan, kestabilan dan kesejahteraan negara.
Seiring dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13, agenda pemerkasaan wanita kini turut memberi perhatian kepada Ekonomi Jingga yang berasaskan kreativiti, warisan dan inovasi. Justeru, pengisian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Peringkat Negeri Melaka pada hari ini yang memberi tumpuan kepada Ekonomi Jingga adalah amat bertepatan dengan keperluan semasa.
Sepanjang program berlangsung, terdapat perkongsian beberapa slot program, antaranya slot Terapi Ketawa yang memberi penekanan kepada kesejahteraan emosi, slot Ekonomi Jingga yang membuka ruang kepada peluang penjanaan pendapatan, serta slot Keterampilan dan Keyakinan Diri yang memberi fokus kepada pembangunan sahsiah wanita.
Pengisian program seperti ini amat bermakna kerana ia menggambarkan bahawa agenda pemerkasaan wanita perlu dilaksanakan secara menyeluruh. Usaha memperkasa wanita tidak terhad kepada aspek ekonomi semata-mata, tetapi turut merangkumi kesejahteraan mental, pembinaan keyakinan diri dan pengukuhan kapasiti diri agar wanita dapat terus maju, berdaya saing dan menyumbang secara aktif dalam masyarakat.
Hadir bersama YBrs. Puan Hanani Sapit, Ketua Pengarah JPW, Datuk Mohd Ridhwan Bin Mohd Ali Pengerusi, World Youth Foudation, Puan Nor Khalida Binti Kasim, Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Melaka, Dato' Normaziah Binti Sheikh Mohamed, Presiden Kelab Ikon Wanita Malaysia serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan, Jabatan dan Agensi.
