Jejak Potensi, Raikan Dedikasi: Wanita Terus Diperkasa
JEJAK POTENSI, RAIKAN DEDIKASI: WANITA TERUS DIPERKASA
14 April 2026|Selasa
YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Hajah Nancy Shukri hari ini merasmikan Program Inspirasi Wanita: Menjejak Potensi Menghargai Dedikasi, anjuran Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Hotel Ideas, Kuala Lumpur.
Tema “Menjejak Potensi, Menghargai Dedikasi” bertepatan dengan semangat PERANTIS di mana setiap tokoh dan peserta mempunyai potensi yang tersendiri dan melalui program ini, potensi tersebut telah digilap melalui pengalaman pembelajaran, bimbingan mentor serta pendedahan kepada pelbagai perspektif kepimpinan. Komitmen yang ditunjukkan sepanjang program ini membuktikan bahawa wanita berupaya memikul tangggungjawab kepimpinan dengan cemerlang, serta mampu menjadi sumber inspirasi kepada lebih ramai wanita.
Program ini diadakan bagi meraikan tokoh-tokoh wanita yang telah menunjukkan komitmen, dedikasi serta kepimpinan yang cemerlang sepanjang pelaksanaan program PERANTIS tahun 2025.
Kejayaan PERANTIS pada tahun 2024 amat memberangsangkan. Seramai 1,247 peserta telah menerima bimbingan daripada 25 tokoh wanita dalam 10 bidang utama, meliputi kepimpinan, politik, ekonomi, sosial, teknologi, perundangan, keselamatan, kesejahteraan, pendidikan dan kesihatan. Program ini diteruskan pada tahun 2025 dengan peruntukan RM 5 juta yang melibatkan 100 tokoh wanita dan 4,129 peserta. Pada tahun 2026, dengan peruntukan RM 4 juta, program ini menyasarkan penglibatan 80 tokoh wanita dan 4,000 peserta.
Hadir bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Lim Hui Ying, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM, YBhg. Datin Safida Zalma Mohd Piah, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPWKM, YBrs. Mohd Daud Mohd Arif, Ketua Pengarah JPW, YBrs. Puan Hanani Binti Sapit, dan Pegawai-pegawai Kanan Jabatan dan Agensi Kementerian.
